Friday, January 4, 2008

Kau yang bernama teman

Current mood: grateful

Hari itu hari cerah
Mendung langsung tersorok tanpa berani menari riang
Zahirnya kau ceria, lukamu kau sorok dalam-dalam
Parutnya kau anyam dan
Kau biarkan berakar umbi menjadi kuman

Kau yang bernama teman
Kagumku, senyumku melihat kau bangkit menongkah arus
Hadir kau tak pernah dikeji
Pergi kau menjemput keinsafan
Tidak ada biar sezarah penyesalan
Bertemu dan berjumpa
Berganding bahu dan bergelak tawa
Bercakaran dan bertukar esak tangis
Meninggalkan satu kisah unggul
Untukku cerahkan rabunku
Menggosok mata agar tak terus terkebil-kebil
Menoleh sesaat kebelakang
Mengucapkan syukur atas pelajaran hidup yang tak terbandingkan

Kau yang bernama teman
Kembalilah kau membanting tulang
Tinggalkan semua hikayat semalam
Akan aku ada di sana biar siapa pun aku
Biar aku bukan lagi kapal tetapi rakit reput
Tak pernah aku cuba meludah dan ketawa
Melihat kau tunduk jatuh ke tanah tanpa burung menyanyi di sisi
Sekeras mana pun benteng hati
Betapa pura-pura bermata sinar pun
Aku tetap akur erti kau yang pernah hadir
Memberi lebih dari seribu satu pengajaran

Kau yang bernama teman
Serahkan hati kau pada Dia yang satu
Akan aku tetap berdiri tegak melindung kau dari bahaya
Biar pun aku bukan lagi bunga, tapi sekadar dedaun
Bukan aku sengaja mengecilkan diri
Menutup telinga, menukul paku, pejamkan hati
Kerana aku tahu teman
Tiada guna pun duduk diam tetap tanpa berganjak
Kalau yang mengalir deras hanyalah kekotoran
Tak tahu mana perginya keindahan
Hanya kain sutera suci kuharapkan menyelimutkanmu
Pasti senyumku semakin melebar
Lihat mata kau tak lagi suram lebam
Tidurmu lena dihiasi ketenangan
Semuanya telah ditentukan
Aku terpaksa jaga celik tentukan haluan angin ini
Agar ianya tak seperti tsunami yang memukul
Meninggalkan seribu kepahitan yang tak terzahir dengan kata-kata

Kau yang bernama teman
Tetapkan hatimu hadapi ombak yang menyerang
Teguh kau, teguhku jua
Keluh kau buat putih hitam mataku bertukar warna
Tak mampu aku biarkan kau yang berjasa
Terkapai bagai ikan tak bernyawa
Buka mata kau yang jernih, hiaskan ia dengan senyuman manismu
Jalan kau masih panjang
Pintaku jangan kau sia-siakan ia
Usah kau selaputkan ia dengan cerita-cerita dongeng
Yang takkan membawa kita ke mana-mana

Kau yang bernama teman
Sejuta terima kasih pun tak mungkin dapat
Aku bedakan dengan segala inci pemberianmu
Hari ini, titisan embun ini mengalir juga ke pipi
Tanda hadir kau akan aku abadikan
Di celah-celah ruang jiwaku
Aku tak kesal teman
Maafkan segala pelosok dosaku
Lambaiku dari sini dengan penuh tenang
Kerana aku nantikan kau bertandang
Membawa kisah gembira
Cerita lama akan kupeluk erat-erat
Biar ia menjadi pedoman

Kau yang bernama teman
Tetaplah berdiri
Berjanjilah untuk terus berlayar
Usirlah rasa rindu yang menyesakkan itu jauh-jauh
Hargailah dirimu
Pandanglah sekelilingmu dengan hati-hati
Jangan kau turutkan emosimu semata
Nescaya kau akan ketemu
Permata sebenar yang kau cari
Aku di sini akan sentiasa menadah tangan
Menyimpan segunung harapan agar
Permata itu takkan lelah
Terus kilaukan siang dan malammu

Kau yang bernama teman
Kau insan mulia,
Hantarlah aku dengan semangatmu
Aku sematkan kau sebagai wira
Tiada secalit dendam pun menutup hatiku
Terima kasih kerana mengajarku tentang erti pertama
Terima kasih atas segalanya
Maafkan aku kerana menjadi berani
Moga Tuhan sentiasa memberkatimu

No comments: